Penulis : Serban Hijau
Hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak
perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu
bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan
hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga
dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu
walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak
berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak
sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan
kerjaya masing-masing.
Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami
oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak
berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut
tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya
sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak
dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin
bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di
kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan
kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan
dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan
sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan
antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan
negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Singapura, walaupun terdapat di dalam masyarakat
Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana
di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin
dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan
mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di
akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih
banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga
lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak.
Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam
solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya
seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga
maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia
kehendaki."
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak
akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana
sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak
berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan
kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita,
sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.
Bahkan wanita yang
rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi
wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.
Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat
diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di
dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang
rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang
sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun
lelaki tersebut telah berkahwin.
Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu
lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul
fitnah dan kebinasaan.
Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang
berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki
atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah
sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau
suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga
tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita
yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita
solehah yang berada di bawah naungan suami.
0 comments:
Post a Comment